KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Nov untuk mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis berhubung persoalan undang-undang berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada badan siasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan lain ialah sama ada Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua persoalan itu dinyatakan oleh Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dalam saman pemula mereka terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Peguam Wong Ming Yen, yang mewakili ketiga-tiga plaintif, ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini menetapkan 14 Nov untuk pengurusan kes sementara menunggu permohonan merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan didengar pada 10 Nov.

Pada 19 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka untuk merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan mahkamah tersebut adalah forum tepat dan sesuai untuk mendengar serta memutuskan isu yang boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

Saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas menyaksikan ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Pendakwa Raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat.

Melalui afidavit sokongan, ketiga-tiga plaintif berkata, media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank beliau berikutan laporan yang dibuat kepada badan itu.

Mereka mendakwa siasatan SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. - BERNAMA