KUALA LUMPUR: Datuk Azhar Azizan Harun mengakui tidak tahu dari mana datangnya persepsi tiada debat dibenarkan semasa Mesyuarat Khas Parlimen yang akan bermula 26 Julai ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menegaskan, notis yang dihantar jelas memperincikan kebenaran bertanya, cadangan serta perbincangan.

"Usul, sebab ini adalah sidang (mesyuarat) khas dan berbeza dengan sidang biasa. Sidang ini adalah di bawah Peraturan 11(3).

"Ia terletak di bawah kuasa perdana menteri dan hanya perdana menteri yang akan memberi arahan semasa sidang (mesyuarat) khas ini.

"Jadi tiada sesiapa boleh berkata apa-apa mengenai apa isu yang akan dibincangkan semasa sidang (mesyuarat) khas melainkan perdana menteri," katanya semasa sidang media secara maya.

BACA: Pejuang akan hadir sidang Parlimen untuk lihat bagaimana ia manfaatkan rakyat - Dr Mahathir

BACA: 
Sidang Khas Parlimen: KPM, KPT wajar bentang isu pendidikan negara - JKPPH

Katanya, isu berkenaan bukan situasi unik di negara ini selepas ramai pakar membincangkannya sebelum ini.

Jelasnya, ia mengikut sistem sama Mesyuarat Khas Parlimen seperti di United Kingdom.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan akan memaklumkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status usulnya supaya persidangan akan datang dapat membahaskan perkara berkaitan pandemik COVID-19 kelak.

Sementara itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kehadiran ke Parlimen, Azhar menjelaskan, prosedur penerangan sudah jelas di dalam Peraturan Mesyuarat 14(1)(i).

Jelasnya, prosedur itu juga termasuk isu polisi dan tindak tanduk kerajaan yang telah diambil dari tajuk berkenaan pemulihan negara, pakej bantuan, proses vaskinasi dan kesihatan.

Dr Mahathir sebelum ini menjelaskan, Pejuang akan menghadiri sekurang-kurangnya pada permulaan sesi Mesyuarat Khas Parlimen bagi memastikan ia bukan sekadar pemberian taklimat oleh kerajaan mengenai dasar yang diperkenalkan.