Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada lagi sidang media harian berhubung perkembangan COVID-19 bermula hari ini.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sidang media situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini akan dijalankan selama tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

"KKM ingin memaklumkan bahawa hari ini merupakan hari terakhir sidang akhbar KKM bersiaran secara langsung setiap hari.

"Mulai minggu ini, sidang akhbar hanya akan dibuat tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat," katanya, di sini pada Isnin.

Jelas Dr Noor Hisham, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sepanjang sidang media KKM sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, Dr Noor Hisham dan pasukan kesihatan digelar 'Pahlawan COVID-19' kerana kecekalan mereka menyampaikan maklumat dan menjawab segala persoalan berkaitan pandemik tersebut.

Malah, Dr Noor Hisham turut dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.