KUALA LUMPUR: Sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 yang sepatutnya bermula 6 September ini, telah ditunda ke 13 September, 2021.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi notisnya kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat malam ini.

“Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan Notis Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 bertarikh 6 Ogos 2021 adalah berkaitan.

“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis, 30 September 2021 telah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis, 12 Oktober 2021,” kata notis tersebut.

Walau bagaimanapun, sebab-sebab penangguhan tersebut tidak dijelaskan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan bahawa sidang penuh Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini.