KUALA LUMPUR: Satu daripada perkara positif disebabkan pandemik ialah ia membantu mengurangkan kes pemburuan haram hidupan liar di Malaysia kepada sifar pada tahun lepas - disebabkan pergerakan dan kawalan sempadan yang lebih ketat.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), jumlah penyeludupan hidupan liar juga menurun 60 peratus pada 2021 - daripada 10 kes pada 2020 kepada empat tahun lepas. Bagi kes pemburuan haram, Perhilitan merekodkan 10 kes pada 2020.

Bagaimanapun, Pengarah Penguatkuasanya Noor Alif Wira Osman mengakui penurunan itu disebabkan oleh penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

"Kes penyeludupan hidupan liar menurun kepada 60 peratus pada 2021 sejak kerajaan menubuhkan NTF terdiri daripada 19 agensi penguatkuasaan. Tugas mereka adalah memerangi kemasukan haram ke negara ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata kebanyakan aktiviti penyeludupan hidupan liar berlaku di Johor.

"Aktiviti sedemikian tertumpu di Johor kerana kemungkinan laluan pemerdagangan hidupan liar di sana. Di sinilah penyeludup berkumpul, mengangkut dan mengedarkan haiwan serta derivatif ke Indonesia," dedahnya.

NTF ditubuhkan pada Mei 2020 untuk mengukuhkan kawalan sempadan negara dalam usaha untuk membendung kemasukan haram dan penularan COVID-19 serta membanteras pemburu haram.

Sementara itu, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia (WCS-Malaysia) percaya Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) juga memberi impak yang signifikan dalam mengurangkan semua bentuk aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar.

Pengarah WCS-Malaysia Dr Mark Rayan Darmaraj berkata OBK yang bermula pada September 2019, adalah satu daripada usaha terbaik kerajaan mendapatkan pelbagai agensi bekerjasama dalam membanteras aktiviti perdagangan dan pemburuan hidupan liar secara haram.

Operasi itu melibatkan kerjasama polis, Jabatan Kastam dan pihak berkuasa perhutanan serta penguatkuasaan hidupan liar negeri dan sehingga Disember 2021, mereka berjaya menahan 350 individu dan merampas hidupan liar bernilai RM36.1 juta di pasaran gelap. Mereka juga telah memusnahkan 1,425 perangkap haiwan dalam proses itu.

Mark berkata pemantauan menyeluruh terhadap harimau merentasi landskap hutan Semenanjung Malaysia, terutama di tiga kawasan keutamaan harimau iaitu Belum-Temengor, Taman Negara dan Endau-Rompin dapat membantu menentukan sejauh mana keberkesanan OBK dalam menghalang penurunan populasi harimau.

Hasil awal Survei Harimau Kebangsaan pertama yang dijalankan dari 2016 hingga 2018, mendedahkan terdapat kurang daripada 200 harimau dalam 75 peratus plot yang ditinjau.

Tinjauan itu meliputi lapan habitat harimau utama di Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Apa yang diperlukan sekarang adalah program pembiakan yang betul untuk rusa sambar, yang merupakan spesies mangsa pilihan harimau. Spesies rusa ini semakin berkurangan akibat pemburuan haram yang berlebihan di kebanyakan hutan kita dan telah terhapus di beberapa kompleks hutan," katanya kepada Bernama.

Beliau percaya usaha itu akan banyak mempengaruhi pembiakan harimau dan kadar kelangsungan hidup anak haiwan itu tetapi mengingatkan faktor lain juga mempunyai kaitan dengan kelangsungan hidup.

Ini termasuk sama ada pemburuan haram boleh diminimumkan, penyelenggaraan blok hutan utama serta memastikan perubahan iklim dan penyakit tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan hidupan liar.

Dalam usaha untuk menggalakkan pemulihan populasi harimau, Perhilitan melepaskan kira-kira 100 rusa sambar setiap tahun di lokasi hutan berbeza di seluruh negara.

Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi menyelamatkan hidupan liar dan tempat liar di seluruh dunia melalui sains, tindakan pemuliharaan, pendidikan dan menyemai inspirasi kepada orang ramai untuk menghargai alam semula jadi.

Operasinya kebanyakan berpusat di dua lokasi iaitu selatan Semenanjung Malaysia (Johor dan Pahang) dan Sarawak. Pada masa ini, WCS-Malaysia berusaha untuk memulihara beberapa spesies keutamaan iaitu harimau, gajah, orang utan, jerung dan pari.

-- BERNAMA