Sikap khianat, kurang telus, tidak bertanggungjawab, faktor upah dan rasuah, serta tidak berintegriti antara punca berlakunya kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Demikian menurut Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang turut melahirkan rasa kesal atas kejadian tersebut, sambil berkata ia mungkin juga atas sebab 'terlalu ghairah untuk mengejar prestasi dan kecemerlangan bagi pihak-pihak tertentu'.

"Sudah banyak kali isu kebocoran soalan peperiksaan seperti ini berlaku di negara kita. Soalnya, kenapa ia masih berlaku. Apakah langkah-langkah pencegahan yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan selama ini?" kata Naib Presiden PERKASA, Syed Osman Mansor dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya faktor integriti sepatutnya menjadi budaya di kalangan penjawat awam, namun jika ianya tidak wujud, SOP yang dibuat untuk meningkatkan kualiti jabatan tersebut sudah tidak bererti lagi.

"Sistem Pendidikan Negara perlu dijaga dan dipelihara oleh semua pihak, sebarang kelemahan atau penyelewengan akan membawa implikasi yang buruk kepada keluarga pendidik dan juga kerajaan," ujarnya.

Beliau juga turut menzahirkan rasa simpati terhadap ibu bapa, guru-guru dan juga pelajar yang mungkin mengalami tekanan emosi kerana terpaksa mengambil semula kertas tersebut selepas berbulan membuat persediaan.

Dalam pada itu, PERKASA juga tidak menolak kemungkinan adanya unsur sabotaj dalam kes tersebut selain usaha untuk mencemar dan memperlekeh kewibawaan Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan negara.

"PERKASA berharap siasatan yang rapi akan dijalankan oleh PDRM untuk menangkap mereka yang terlibat dengan angkara yang memalukan Kementerian Pendidikan dan juga Kerajaan Malaysia.

"Mereka mesti di bawa ke muka pengadilan dan jika terbukti bersalah, hukuman yang berat dan setimpal perlu dikenakan untuk dijadikan iktibar dan pengajaran," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak polis menyiasat insiden kebocoran kertas peperiksaan UPSR sehingga ke akar umbi supaya mereka yang bertanggungjawab boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

Kata Muhyiddin, kebocoran itu mungkin dilakukan dengan sengaja sebagai tindakan sabotaj terhadap dirinya dan Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak akan membuat sebarang andaian berhubung siapa dalang di sebalik insiden itu tetapi mahu pihak polis tidak menolak kemungkinan itu.