Polis menahan lima lelaki selepas disyaki terlibat kegiatan sindiket pengedaran rokok seludup bernilai lebih RM4. 2 juta dalam satu operasi khas di Mersing, Johor.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani operasi pada Jumaat yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas itu turut merampas sebanyak 25,750 karton rokok.

"Polis menerima laporan daripada orang awam yang mengenai sindiket berkenaan yang aktif mengedar rokok seludup di Semenanjung Malaysia.

"Dalam operasi berkenaan, polis turut menahan lima lelaki tempatan berumur lingkungan 23 hingga 37 tahun selain menyita sebuah lori dan sebuah kereta Proton Wira yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, kesemua suspek ditahan reman di Ibu pejabat Polis Daerah Mersing selama tiga hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.