GEORGE TOWN: Sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan dua unit kondominium mewah sebagai ‘calling centre’ tumpas selepas polis menahan 23 individu termasuk empat wanita dalam serbuan di Persiaran Gurney dan Jalan Kelawei, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 31 tahun itu dipercayai bekerja sebagai ejen mempromosikan aktiviti perjudian dengan menerima gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 ringgit.

Mohd Shuhaily berkata, sindiket itu yang aktif sejak pertengahan Disember lepas dikesan memancing pelanggan melalui media sosial dengan berkongsi pautan perkhidmatan judi dalam talian.

"Sindiket ini membuat taruhan sendiri, tidak berdasarkan kepada taruhan daripada pihak ketiga... jadi ia beroperasi sendiri... ini sesuatu yang baharu.

"Polis Pulau Pinang berkongsi maklumat ini dengan Bukit Aman dalam menyiasat perkembangan modus operandi baharu ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Katanya, siasatan juga mendapati, sindiket terbabit memberi komisen lima peratus kepada ejen perjudian sekiranya pelanggan kalah dalam pertaruhan.

Dalam serbuan itu, katanya polis merampas pelbagai barangan antaranya 85 telefon bimbit, komputer riba (18), kad sim (49) dan kereta (dua).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)( a ) Akta Judi Rumah terbuka 1953, selain Seksyen 4 (1) (b),  Seksyen 4 (1) (c) dan Seksyen 4 (1) (g) akta sama.