BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket memproses dadah bernilai RM11. 8 juta yang menjadikan kediaman mewah sebagai makmal memproses dadah jenis MDMA selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beradik.

Kesemua suspek berusia diantara 30 hingga 37 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Taman Pauh Jaya, Seberang Jaya dan Sungai Petani, Kedah pada Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, dalam serbuan pertama suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak agresif apabila merempuh kenderaan polis dan melarikan diri namun berjaya diberkas di Taman Sutera di Seberang Jaya.

"Pasukan serbuan telah buat pemeriksaan di Taman Pauh Jaya dan hasil serbuan di sebuah rumah di Pauh Jaya, telah merampas dadah bernilai RM11.8 juta. Turut dirampas beberapa jenis dadah, mesin membuat dadah, serta mesin membuat tablet dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sahabudin berkata siasatan pihaknya juga mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak September tahun lepas dan menyewa rumah mewah di kawasan elit di Taman Pauh Jaya, bagi mengaburi mata pihak polis.

"Sindiket dadah ini beroperasi di sebuah rumah mewah di kawasan elit yang disewa dengan sewa RM2,800 sebulan," katanya lagi.

Sahabudin berkata dalang berusia 33 tahun sindiket dadah berkenaan dipercayai memasak dan memproses sendiri dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan sehingga 651,134 penagih.

Selain itu, polis turut menyita enam kenderaan mewah jenis Range Rover, Subaru, Mini Cooper One,  Toyota Camry, Honda Odyssey, Mercedes Benz, sebuah motosikal, barang kemas serta menyita dua akaun bank dengan nilai sitaan sebanyak RM525,800.

Sahabudin berkata, dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah namun aset milik sindiket didaftarkan atas namanya.

Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi negatif.

Ketiga-tiga mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.