PERMATANG PAUH: Tindakan seorang lelaki yang sedang mengisi minyak ke dalam tangki sebuah lori dalam keadaan mencurigakan membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi apabila serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Serbuan dijalankan sepasukan Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di sini, pada jam 6.45 petang semalam, selepas mendapat maklumat  awam.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang A Mogan berkata, semasa serbuan dilakukan, lelaki berusia 40-an itu dilihat sedang mengisi minyak ke dalam tangki asal lori berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut  ke atas lori tersebut menemui sebuah tangki minyak yang diubah suai dan diletakkan di atas lori tersebut.

"Minyak yang diisi dalam tangki asal akan dipam masuk ke dalam tangki tambahan dengan menggunakan motor pump” katanya.

Dianggarkan, sebanyak 1,810 liter minyak diesel telah dipam ke dalam tangki tambahan tersebut, tambahnya.

Menurut Mogan, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan modus operandi dengan membuat pembelian diesel dari satu stesen minyak ke satu stesen minyak setiap hari.

Hasil siasatan mendapati, lelaki terbabit yang mendakwa bekerja di bawah seorang majikan, membuat pembelian diesel di beberapa stesen minyak dengan upah diterima sebanyak RM200.

“Lelaki ini diberi RM5,000 untuk membuat pembelian minyak. Dengan kira-kira RM5,000 dia boleh membuat pembelian kira-kira 2,500 liter.

“Apabila kementerian meletakkan syarat bahawa setiap kenderaan hanya boleh mengisi minyak sebanyak 2,500 liter sekali pembelian sehari, sindiket tersebut akan membuat kutipan di 10 stesen minyak yang berhampiran sebelum menghantarnya ke stor milik majikannya dengan mendapat upah RM200," jelas Mogan.

Dalam serbuan itu, KPDNHEP turut menyita sebanyak 1,810 liter diesel, termasuk sebuah lori dan tangki tambahan, dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai hampir RM70,000.

Lelaki warga tempatan itu  turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.