SINGAPURA: Ribuan panel solar disusun di perairan pantai Singapura dalam usaha republik itu membina ladang suria disebalik kekurangan kawasan lapang.

Negara berkenaan antara yang terkecil di dunia, namun ia antara negara yang mengeluarkan gas karbon dioksida paling tinggi per kapita di Asia.

Usaha menjana tenaga boleh diperbaharui menjadi cabaran besar kepada negara yang tidak mempunyai sungai serta kelajuan angin yang tidak mencukupi bagi menguasakan turbin.

Ini memaksa kerajaan untuk beralih ke tenaga suria yang diletakkan di kawasan perairan dan kawasan takungan air.

"Selepas kesemua bumbung bangunan telah digunakan, kawasan perairan menjadi pilihan," kata Naib Presiden dan ketua projek solar Sembcorp Industries, Jen Tan.

Bulan lepas, kerajaan Singapura mendedahkan "rancangan hijau" yang meliputi usaha seperti menanam lebih banyak pokok, mengurangkan pembuangan sisa pepejal dan membina lebih banyak tempat untuk mengecas kereta elektrik bagi menggalak penggunaannya.

Negara itu mensasarkan penggunaan tenaga solar meningkat empat kali ganda iaitu dua peratus menjelang 2025 dan tiga peratus pada 2030 - mencukupi untuk penggunaan 350,000 rumah bagi tempoh setahun.