Tan Sri Rafidah Aziz hari ini menasihatkan masyarakat Melayu supaya mengetepikan segala perbezaan antara kaum dan tidak mempunyai pemikiran berkelompok.

Bekas menteri kabinet itu menegaskan, orang Melayu harus menyingkirkan pemikiran berkumpulan kecil dan tidak harus lupa akan perjuangan yang lebih besar, iaitu menjaga kepentingan serta keperluan rakyat dan negara.

“Kita harus bersatu sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan kita hendaklah ketepikan bukan sahaja perbezaan dan pergeseran yang wujud dalam kalangan kita.

“Perlu juga kita ketepikan pemikiran berkumpulan kecil supaya kita bertenaga untuk memikirkan keperluan dan kepentingan Malaysia dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Maknanya, kita jangan terlampau mempunyai pemikiran berkelompok dan lupa akan agenda yang lebih besar, iaitu membangunkan negara,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama penutup persidangan Women In Rail (WIR) 2019 di sebuah hotel di ibu kota pada Isnin.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pentingnya penyatuan dalam kaum masing-masing dan menegaskan bahawa rakyat negara ini tetap perlu bersatu tanpa mengira bangsa dan budaya.

“Ya, kita perlu bersatu dalam kumpulan kita, tetapi dengan objektif untuk menuju ke arah konteks yang lebih besar sebagai rakyat Malaysia.

“Rakyat tidak boleh berpecah. Kerana, bagaimana kita hendak membantu membina negara jika kita tidak bersatu?” soalnya.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai cadangan penggabungan antara AirAsia Bhd dan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Rafidah yang juga Pengerusi AirAsia X Bhd enggan berbuat demikian.

"Tidak, saya tidak mahu memberi komen mengenai isu ini.

"Seperti anda tahu, AirAsia ialah syarikat senaraian awam. Oleh itu tidak wajar untuk saya dari segi tadbir urus mengumumkan atau memberi komen apa-apa mengenainya, kerana ia mempunyai kaitan dengan perniagaan AirAsia," katanya.

BACA: 'Kahwin' atau jual Malaysia Airlines, tetapi jangan biar ia berkubur - Kadir Jasin

BACA: AirAsia mampu selamatkan MAB daripada berkubur - Kadir Jasin

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin baru-baru ini dilaporkan berkata, lebih baik MAB "berkahwin" dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur.

Katanya, syarikat penerbangan tambang rendah itu dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu.