KUALA LUMPUR: Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih beroperasi dan dikuat kuasa berpandukan kaedah dan garis panduan operasi standard yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata hasil kutipan diperoleh daripada pembayaran kompaun atau denda AWAS sejak 1 Sept 2018 hingga 30 Sept lepas adalah lebih RM9 juta.

"Pengoperasian AWAS adalah bagi mematuhi objektif utama pelaksanaan sistem ini untuk mengubah minda serta memberi pengajaran dan kesedaran kepada orang ramai untuk patuhi peraturan jalan raya demi menjaga tahap keselamatan dan kebajikan semua pengguna jalan raya.

"Mulai 1 Sept 2018, semua aspek pengoperasian, penyelenggaraan, pembangunan dan penguatkuasaan AWAS telah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan melalui JPJ," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Othman Aziz yang ingin tahu jumlah kutipan yang diperoleh daripada AWAS kerana kesalahan pemandu dan sama ada kaedah itu akan diperkenalkan semula.

Henry berkata pada 2018 sebanyak 84,116 saman telah dikeluarkan melibatkan 77,233 saman berkaitan kesalahan had laju manakala 6,883 saman membabitkan kesalahan lampu isyarat.

"(Bagaimanapun) kadar penyelesaian (bagi semua saman terbabit) agak kurang iaitu di bawah kesalahan had laju hanya 10,604 (saman) yang diselesaikan manakala bagi kesalahan lampu isyarat hanya 1,703 (saman)," katanya.

-- BERNAMA