PUTRAJAYA: Sehingga saat ini, tiada sebarang arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar untuk bercuti susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan pekerja asing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau hanya memberi kerjasama dan setakat ini, tiada arahan untuk merehatkan beliau dari tugas sebagai Menteri.

Menurut Loke, bukanlah suspek ketika dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad.

"Sivakumar bukan suspek, beliau hanya beri kerjasama untuk kes ini.

"Kita sedang lihat perkembangan kes ini.

"Setakat ini, tiada arahan daripada Perdana Menteri untuk rehatkan beliau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di bangunan Kementerian Pengangkutan pada Isnin.

Media pada Ahad melaporkan Menteri Sumber Manusia itu disahkan telah hadir ke pejabat SPRM.

Beliau dipanggil bagi melengkapkan siasatan yang dilakukan agensi itu selepas menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementerian tersebut pada minggu lalu.

Sumber berkata, Sivakumar dipercayai hadir ke pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi.

Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM kira-kira jam 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.