KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mempersoalkan rasional di sebalik fakta sebuah subkontraktor yang baru ditubuhkan 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta daripada projek pertahanan utama negara.

Fakta itu dikeluarkan Rafizi berhubung lantikan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd atau CED yang merupakan subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) dalam projek LCS.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Rafizi menggariskan tiga peristiwa mengenai bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan, bertarikh 9 April 2012.

Ia bermula dengan pelantikan Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor oleh BNS bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion diikuti dengan pelantikan CED oleh CAD sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS dan CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua.

"Transaksi-transaksi sebegini merupakan satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.

"Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara?

"Penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini," katanya.

Rafizi juga sekali lagi mengulangi persoalan pokok yang diutarakan berkaitan LCS sebelum ini, yang didakwa belum dijawab Najib.

"Pas-UMNO-Bersatu cuba mengalih perhatian dari isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat. Mesin propaganda yang diketuai Najib cuba meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan berlaku, hanyalah kelewatan projek," tambah Rafizi.