KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mendapati tadbir urus Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk kontrak tersebut lemah dan sebahagian daripada klausa-klausa kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan.

Laporan JKSTUPKK yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang itu juga mendapati, Kementerian Pertahanan tidak melaksanakan pemeriksaan wajar yang komprehensif bagi menilai keupayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

JKSTUPKK juga menerusi laporan yang telah dinyahklasifikasikan mendapati lima kelemahan tadbir urus, perolehan dan kewangan yang ditemui selain pemilihan reka bentuk, sistem pengurusan kombat dan sebahagian peralatan utama LCS dibuat berdasarkan syor serta pandangan BNS, bukan sepenuhnya daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna.

Berdasarkan laporan itu, kelewatan projek sejak 2015 meliputi rekaan asas dan terperinci yang hingga kini masih belum dimuktamadkan.

Bahkan, menurut laporan itu, kelemahan lain yang dikenal pasti ialah isu perolehan peralatan, lakaran pengeluaran, kekurangan tenaga kerja, jurutera tidak mahir, masalah kerjasama dengan Naval Group dan penghantaran peralatan keluli its yang lewat diterima serta masalah kecairan dan hutang tinggi ditanggung BNS.

"Kegagalan untuk memuktamadkan isu pertukaran peralatan Integrated Platfrorm Management System (IPMS) dan Decoy Launching System (DLS) serta jadual pelaksanaan yang berlarutan hingga kini menyebabkan impak kos yang tinggi dan tambahan masa panjang akan ditanggung kerajaan, selain tuntutan kos bagi Surface to Surface Missile.

"Kontrak lewat ditandatangani, bon pelaksanaan terkurang dikutip dan tempoh kuat kuasa bon tidak mengikut kontrak serta isu capping Liquidated Damages (LD) dalam kontrak," kata laporan itu.

Sehubungan itu, JKSTUPKK menerusi laporan itu mengesyorkan hala tuju kontrak LCS dan sekiranya ingin meneruskan kontrak, perkara berikut perlu dilaksanakan oleh MINDEF, TLDM dan syarikat BNS.

* Memuktamadkan segera pertukaran peralatan IPMS, DLS dan perlanjutan tempoh kontrak bagi mengelakkan peningkatan kos dan tambahan masa menyiapkan pembinaannya.

* BNS perlu segera menyiap dan memuktamadkan rekaan terperinci kapal selain meningkatkan amalan tadbir urus pengurusan kewangan dan perolehan peralatan bagi memastikan harga diperoleh adalah berbaloi dengan harga untuk kerajaan.

* Kawalan ketat oleh pegawai ke atas bayaran kemajuan kepada BNS supaya sumber kewangan kerajaan hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS sahaja.

* Kementerian Pertahanan perlu memperkemaskan pengurusan kontrak khususnya capping dalam LD tidak dimasukkan dalam kontrak Supplementary supaya LD dapat dikuatkuasakan bagi penyerahan kapal yang lewat.

* Kajian faedah kos dilaksanakan bagi mengelakkan kos projek terus meningkat dan kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS atau mengurangkan bilangannya.