KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad hari ini menafikan individu bernama Zainab Mohd Salleh, seperti yang tular dalam beberapa laporan berita sebelum ini, adalah isteri kepada beliau.

Dalam satu kenyataan ringkas susulan, Ahli Parlimen Mersing dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ia bertentangan dengan apa yang dilaporkan mengenai individu tersebut, serta kaitan dengan penyelewengan dana projek kapal pesisir tempur (LCS).

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

“Sebagai Anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya lagi.

Awal hari ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Zainab Mohd Salleh adalah isteri kedua Dr Abdul Latiff, mempunyai kaitan dengan penyelewengan berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkah, kertas siasatan dalaman LCS menunjukkan Zainab Mohd Salleh terlibat dalam dua syarikat pesisir luar pantai – Alizes Marine Limited dan Alizes Marine Labuan.

Dakwanya lagi, berdasarkan siasatan dalaman terhadap kedua-dua syarikat berkenaan termasuk dengan pendedahan Paradise Papers, terdapat beberapa bentuk penyelewengan berlaku.

Rafizi turut mendakwa, semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh.

Selain itu katanya, Zainab juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited, antara pemegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

BACA: Skandal LCS: Rafizi dakwa isteri Dr Latiff terlibat

Rafizi berkata, projek LCS telah membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

Mengulas mengenai Zainab, Rafizi berkata, berdasarkan pendedahan Paradise Papers, wanita itu merupakan isteri kepada Dr Abdul Latiff, yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan (2008 – 2013) sewaktu penyelewengan LCS dikatakan berlalu.