Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bakal mengambil tindakan terhadap akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) sekiranya ia dapati laporan akhbar itu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah palsu.

Menurut laporan The Malaysian Insider, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata pihaknya perlu menyisat perkara itu terlebih dahulu.

“Kami akan meneliti perkara ini jika maklumat yang disiarkan tidak benar. Sudah tentu kami akan mengambil tindakan yang perlu.

“Sudah tentu saya akan mengarahkan SKMM untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang perlu," katanya seperti yang diungkap oleh portal berita itu.

Salleh dipetik sebagai berkata, Putrajaya harus menyiasat ahli Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), sekiranya mereka didapati membocorkan maklumat sulit 1MDB.

"Kita juga perlu menyiasat mana maklumat yang datang dari. Jika ia adalah dari PAC, sudah tentu kita perlu menyiasat siapa di antara mereka (ahli-ahli PAC) membocorkan maklumat,” katanya.

Salleh berkata demikian semasa merujuk kepada sebuah laporan WSJ yang berkata International Petroleum Investment Co (IPIC) mendakwa bayaran berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.02 billion) dari 1MDB kepada syarikat itu hilang.

BACA: 1MDB nafi laporan WSJ mengenai pembayaran AS$1.4 bilion

IPIC sebelum ini menaja jamin bon AS$3.5 bilion (RM15.14 bilion) yang dikeluarkan 1MDB untuk pembelian loji tenaga pada 2012.

Sebagai ganti, IPIC mempunyai pilihan untuk membeli 49 peratus kepentingan dalam loji tenaga itu.

Dalam reaksinya kepada artikel tersebut, 1MDB telah menafikan perkara itu dan menegaskan laporan WSJ tidak menamakan sumber atau mengemukakan bukti kukuh dan sengaja mensensasikan cerita.
1MDB juga mengesahkan juruauditnya, Deloitte sudah membuat pertanyaan khusus mengenai pembayaran itu sebelum memeterai perjanjian bagi menjalankan audit ke atas akaun 1MDB.

Deloitte turut mempertahankan proses auditnya ke atas 1MDB di depan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pada masa sama, 1MDB turut melahirkan kebimbangannya terhadap maklumat sulit syarikat itu yang kononnya dimiliki WSJ.

Mereka terkejut bagaimana WSJ boleh meneliti transkrip prosiding daripada jawatankuasa parlimen yang menyelesaikan isu 1MDB yang mana hanya diketahui oleh ahli PAC sahaja.

1MDB bimbang ada ahli PAC membocorkan transkrip tersebut dan sengaja mahu mengganggu siasatan PAC terhadap syarikat itu.