Prosedur operasi standard (SOP) melibatkan keperluan bercuti jika mana-mana pemimpin UMNO berdepan pertuduhan di mahkamah, tiada dalam perlembagaan parti.

Ahli Majlis Tertingginya, Tan Sri Noh Omar berkata, ia hanya merupakan budaya atau kebiasaan yang diamalkan UMNO sejak sekian lama ketika menjadi pemerintah negara.

Katanya, ramai pemimpin UMNO yang pernah berdepan pendakwaan di mahkamah sehingga pertuduhan terhadapnya selesai, antaranya Tan Sri Rahim Tamby Chik ketika menggalas jawatan Ketua Pemudanya, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri dan terbaharu bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi.

"Macam kes Tan Sri Rahim, beliau berehat apabila kena dakwa, tetapi bila kesnya selesai, beliau ambil balik jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO.

"Semua itu (keputusan bercuti ketika hadapi pertuduhan di mahkamah) diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO," katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya mengenai SOP keperluan untuk pemimpinnya bercuti sekiranya didakwa di mahkamah.

Ia susulan kes dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 45 pertuduhan melibatkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah.

BACA: Masih awal bincangkan kedudukan Zahid sebagai presiden UMNO

Berikutan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan untuk memutuskan sama ada Ahmad Zahid akan bercuti sementara selepas didakw di mahkamah dan hasil cadangan daripadanya akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti.

Ia kerana, katanya, SOP parti itu menetapkan, jika terdapat ahli yang berjawatan tinggi didakwa di mahkamah, mereka perlu mengambil cuti dan boleh kembali menjawat jawatan sekiranya dibuktikan tidak bersalah.

BACA: MT UMNO wajar pertimbang kedudukan Zahid - Ku Li

Dalam pada itu, Noh berkata, budaya itu bagaimanapun hanya diamalkan dalam UMNO, tetapi tidak dalam parti lain seperti DAP dan PKR.

"Kalau kita lihat parti lain, sebagai contoh, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) walaupun kena dakwa (di mahkamah), beliau masih pegang jawatan dalam parti, malah boleh jadi menteri. Begitu juga dengan Rafizi Ramli (bekas Naib Presiden PKR) yang tidak letak jawatan dalam parti.

"Namun dalam UMNO, kes seperti bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman, beliau bukan sahaja perlu bercuti ketika berdepan pendakwaan, tetapi juga tidak boleh bertanding calon Parlimen. Ini amalan kita yang jauh berbeza dengan parti lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berpendapat, bercuti bukan pilihan terbaik bagi Ahmad Zahid sebagai seorang presiden yang telah dipilih akar umbi parti, apatah lagi ketika parti itu berada di blok pembangkang.

BACA: Zahid Hamidi tak perlu letak jawatan - UMNO Perak

Katanya, SOP pada 2009 itu dibuat Umno sebagai langkah untuk menjaga integriti parti itu dan BN yang sedang memerintah ketika itu.

"Pendakwaan juga dibuat oleh pihak kerajaan. Selepas PRU14 lalu, kerajaan sudah bertukar tangan. UMNO kini bukan lagi pemerintah.

"Pemimpin UMNO kini berdepan dengan pelbagai tuduhan dan pendakwaan daripada kerajaan baru. Rata-ratanya pendakwaan bermotif politik terhadap pemimpinnya dengan tujuan mahu menghancurkan sama sekali UMNO," katanya.

Beliau berharap agar semua pemimpin Umno terus istiqamah mempertahankan institusi kepresidenan parti daripada kerajaan PH yang dianggap zalim sedang membuat pendakwaan politik seperti dihadapi Ahmad Zahid ketika ini.

"Apapun, sama-sama kita tunggu keputusan yang bakal dibuat Majlis Tertinggi UMNO kerana itulah hierarki tertinggi dalam perlembagaan parti dalam membuat sebarang tindakan," katanya dalam satu kenyataan.