PUTRAJAYA: Garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kini di peringkat akhir penelitian sebelum dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata beberapa langkah ketat disyorkan menerusi SOP tersebut dengan mengambil kira situasi kemunculan varian baharu COVID-19 Omicron di negara ini sebelum dimuktamadkan bagi mengelak berlaku penularan.

"SOP PRN-12 Sarawak hampir siap. KKM sedang memperhalusi satu dua lagi perkara sebelum kita serah pada SPR.

"Sudah pasti perkembangan terbaru ini (Omicron) diambil kira. Kita mahu pastikan tiada penularan berlaku pada PRN berkenaan," katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 negara di sini hari ini.

Varian Omicron | SOP PRN Sarawak akan diketatkan lagi

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Varian Omicron COVID-19 dikesan di Malaysia

Malaysia merekodkan kes pertama varian Omicron membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, yang disahkan positif bagi varian dibimbangi (VOC) itu pada 2 Dis hasil jujukan genom yang dijalankan.

Khairy sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya sedang mengemas kini SOP PRN Sarawak bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

SPR menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.

-- BERNAMA