KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan kementerian sama di Singapura mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui untuk rakyat Malaysia yang berulang-alik secara harian ke Singapura.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah menyiapkan SOP berkaitan serta sudah diserahkan kepada KKM.

"Untuk ulang-alik, kita tahu hampir 200,000 rakyat kita yang bekerja di Singapura dan ada yang ulang-alik guna motosikal dan sebagainya. Perkara ini masih dirunding Kementerian Luar kerana ia libat kerjasama Malaysia-Singapura.

"Cadangan SOP telah disiapkan kerajaan Johor dengan JKN Johor dan diberi kepada KKM dan akan diserah pada Kementerian Luar Negeri," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin. 

Jelasnya, rakyat Malaysia dan pasangan bukan warganegara boleh pulang ke Malaysia. 

Namun ia perlu melalui Jabatan Imigresen Malaysia. 

"Rakyat kita yang berada di Singapura mereka boleh balik. Tiada sekatan kepada rakyat kita yang ingin pulang ke Malaysia. Malah pasangan bukan warga Malaysia juga kita benarkan, dengan syarat memohon melalui Imigresen melalui My Travel Pas," ujarnya.