PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah membatalkan keputusan Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) serta menyenarai hitam calon yang didapati terlibat dalam salah laku integriti semasa menduduki peperiksaan itu.

SPA dalam kenyataannya memaklumkan hasil pemantauan dan siasatan pihaknya mendapati ada calon yang tidak bertanggungjawab semasa menduduki PSEE.

"SPA telah mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti dengan mewujudkan kumpulan tertentu dalam WhatsApp dan Telegram, bertujuan menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi tujuan lulus PSSE," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut SPA memandang serius perkara tersebut dan menegaskan bahawa permohonan calon terlibat bagi sebarang jawatan lain tidak akan dipertimbang.

Pencarian di ruang Telegram mendapati wujud beberapa kumpulan antaranya 'Bank Soalan PSEE' dan 'PSEE Daya Menyelesaikan Masalah' yang memuat naik set soalan, jawapan beserta cara kerja bagi soalan penyelesaian masalah.

Turut dimuatkan peringatan kepada anggota kumpulan bahawa mereka dilarang menghantar sebarang soalan dalam kumpulan terbabit ketika peperiksaan berlangsung.

PSEE merupakan ujian aptitud yang dijalankan secara dalam talian sebagai saringan awal kepada pemohon pekerjaan merangkumi penilaian pengetahuan am, keupayaan dalam penyelesaian masalah dan ujian kefahaman Bahasa Inggeris.

-- BERNAMA