JERANTUT: Spesies ikan liar sungai utama di Jerantut mungkin akan pupus dalam tempoh 10 tahun lagi, menurut Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Ini kerana, dakwanya, berlaku kerosakan alam sekitar dan air sungai yang keruh akibat penebangan hutan di Ulu Tembeling, serta aliran bahan toksik yang dilepaskan dari kawasan perlombongan dan industri di tempat lain.

Katanya, aktiviti pembangunan tidak terancang yang boleh mencemar alam sekitar semakin berleluasa dan memberi kesan besar kepada ekosistem, terutamanya mengganggu habitat ikan liar sungai.

“Generasi pada masa hadapan mungkin tidak lagi akan mengenali dan dapat menikmati sajian ikan air tawar, termasuk keindahan flora dan fauna di Ulu Tembeling yang tergugat dan hanya tinggal catatan serta gambar yang ditatap sahaja.

“Kepupusan ikan air tawar akibat kerosakan alam sekitar di daerah ini turut menjejaskan sektor pelancongan, dan pasaran ikan berkenaan mungkin merosot tidak lama lagi, malah memberi kesan kepada pendapatan pengusaha dan nelayan sungai,” katanya.

Ahmad Nazlan berkata demikian pada Program Jelajah Perikanan Pahang Barat 'Moh Makan Ikan Air Tawar' yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Jerantut, semalam.

Beliau memohon penduduk daerah ini supaya menghayati titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang melawat kawasan Ulu Tembeling baru-baru ini supaya terus menjaga alam sekitar dan sungai termasuk spesis liar di habitat berkenaan.

"Titah baginda wajar dipatuhi oleh semua pihak termasuk penduduk, kerana baginda sangat cintakan alam sekitar dan memohon rakyat memulihara khazanah alam hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun ini untuk dihayati generasi pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, Jerantut menyumbang kepada pasaran ikan sungai dan ternakan kolam serta sangkar sebanyak 148 tan metrik, dengan nilai pasaran kira-kira RM10 juta setahun.

“Pengeluaran ikan sungai dan ternakan kolam serta sangkar menjadikan daerah ini mempunyai pasaran ikan air tawar tertinggi, sekali gus membuktikan spesies berkenaan menjadi kegemaran orang ramai.

"Pengeluaran menerusi ternakan dan penangkapan secara terkawal di sungai utama juga antara sebab daerah ini dikenali sebagai pusat makanan tempatan berasaskan ikan air tawar yang terkenal di Pahang dan negara ini,” kata Ahmad Nazlan.

Tambahnya, Program Jelajah Perikanan Pahang Barat 'Moh Makan Ikan Air Tawar' yang mempopularkan masakan ikan air tawar dan sajian yang lazat, khususnya masakan asal Pahang, perlu diketengahkan ke negeri lain.

"Datanglah ke bandar Jerantut dan Taman Negara Kuala Tahan.

"Pengunjung akan merasai kelainan rasa atau jurang kelazatan sajian ikan air tawar berbanding dengan tempat lain di negeri ini seperti masakan asam tempoyak, asam rong, pais tempoyak dan sajian tempatan berasaskan ikan liar, iaitu kelah, patin dan kenerak.

“Oleh itu penduduk Pahang dan daerah Jerantut sentiasalah menjaga alam sekitar termasuk habitat ikan serta aliran sungai agar terus dapat dipelihara,” katanya.