KUCHING: Hari pertama pembukaan sekolah di Sarawak berjalan dengan lancar mengikut ketetapan prosedur operasi standard SOP.

Tinjauan Astro AWANI di Kuching mendapati rata-rata sekolah sudah membuat persediaan rapi.

Namun hujan lebat yang bermula sejak jam 5 pagi menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas sehingga ada yang risau anak mereka terlambat ke sekolah.

Pengetua St Joseph Private School, Father Standley Gho berkata, persediaan awal telah dilakukan selain memastikan para pelajar dan kakitangan sekolah sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

"Kami kerap melakukan sanitasi di sekolah selain memastikan ruang yang mencukupi untuk pelajar meneruskan pelajaran dalam keadaan yang selamat.

"Selain itu kami juga memastikan pelajar yang melakukan pembelajaran di rumah dapat meneruskan pelajaran tanpa sebarang gangguan," katanya.

Tambahnya kehadiran pelajar untuk hari pertama sesi persekolahan sangat memberangsangkan dan itu seperti apa yang telah dijangkakan.

Sementara itu pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi disambut adiwira 'Spiderman' pada hari pertama sesi persekolahan bagi penggal ketiga, 2021/2022.

Di sebalik topeng tersebut merupakan pengetua sekolah itu sendiri, Jefri Said dan tindakan beliau jelas menarik perhatian sehingga memberi keceriaan buat para pelajar.

Ujarnya, para pelajar sangat teruja di hari pertama persekolahan terutamanya pelajar Tahun 5 dan 6.

Pematuhan SOP juga mengikut ketetapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Malah, setiap pelajar akan disediakan satu kad identiti dengan maklumat peribadi seperti gambar, nama dan kelas pelajar tersebut.

Pihak guru hanya akan mengimbas kod QR pelajar di kad tersebut melalui aplikasi e-Datang untuk merekodkan kehadiran.

Terdapat dua saluran disediakan untuk masuk ke kelas iaitu untuk pelajar Tahun 1, 2, 3 dan untuk pelajar Tahun 4, 5 dan 6.

Para pelajar pula diberi kelonggaran untuk berpakaian selain pakaian seragam dengan syarat ia kemas.