SPR kaji aspek keselamatan, logistik sebelum adakan PRK Balakong, Seri Setia serentak

Bernama
Ogos 4, 2018 21:13 MYT
Keputusan akan dibuat dalam mesyuarat khas yang dijangka diadakan di ibu pejabat SPR pada 8 Ogos ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil kira aspek lokasi tempat mengundi, keselamatan dan logistik sebelum memutuskan sama ada perlunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan DUN Seri Setia dijalankan serentak.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata aspek tersebut perlu diambil kira dan akan diputuskan dalam mesyuarat khas yang dijangka diadakan di ibu pejabat SPR pada 8 Ogos ini.
"Mesyuarat itu juga akan memutuskan tarikh-tarikh penting untuk PRK DUN Seri Setia," katanya kepada media selepas selesai proses penjumlahan undi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di sini malam tadi.
Mengenai PRK Sungai Kandis yang secara rasminya hanya 49.4 peratus keluar mengundi, beliau berkata pihaknya telah menambah baik beberapa aspek antaranya menambah jumlah petak saluran undi daripada dua kepada tiga, penyediaan kereta buggy dan tempoh mengundi yang panjang.
"Kita akan kekalkan penambahbaikan ini untuk PRK Balakong dan PRK Seri Setia," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan Bersih 2.0 kononnya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melanggar Akta Pilihan Raya ketika berkempen untuk PRK DUN Sungai Kandis, beliau berkata perkara tersebut akan disiasat sebaik sahaja menerima laporan.
Pertembungan tiga penjuru PRK Sungai Kandis menyaksikan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperoleh 15,427 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon Bebas K. Murthy (97 undi).
Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. -- Bernama
#pilihan raya kecil #PRK Balakong #PRK Seri Setia #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya