Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan penjalanan proses penamaan calon pada Sabtu.

Sepanjang proses berlangsung tiada sebarang insiden tidak dingini dilaporkan yang boleh menjejaskan penjalanan proses penamaan calon seluruh negara.

Menurut SPR melalui kenyataan dikeluarkan urusan penamaan calon bagi PRU13 berjalan lancar di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara.

Bagi 222 kerusi dewan rakyat SPR telah menerima sebanyak 579 kertas penamaan calon.

Manakala bagi 505 kerusi DUN sebanyak 1,324 diterima.

Bagi kerusi Dewan Rakyat tiada kertas penamaan calon ditolak.

Kerusi Dewan Undangan Negeri pula tiga kertas penamaan calon ditolak.

Ia disebabkan mereka yang menyerahkan kertas penamaan tidak mempunyai kelayakan mengikut undang-undang ditetapkan.

Dalam penamaan calon kali ini juga tiada calon menang tanpa bertanding untuk Dewan Rakyat dan DUN.

Sebanyak 132 bahagian pilihan raya Dewan Rakyat melibatkan pertandingan dua penjuru, 57 pertandingan tiga penjuru, 24 pertandingan empat penjuru, tujuh pertandingan lima penjuru dan masing-masing satu pertandingan enam penjuru dan tujuh penjuru.

Manakala 320 bahagian pilihan raya DUN melibatkan pertandingan dua penjuru, 107 pertandingan tiga penjuru, 42 pertandingan empat penjuru, 25 pertandingan lima penjuru, 10 pertandingan enam penjuru dan satu pertandingan tujuh penjuru.