Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan kenyataan rasmi selewat-lewatnya Jumaat, berhubung tarikh mesyuarat khas yang akan diadakannya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mesyuarat khas itu akan menetapkan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen, tarikh pengundian awal, tarikh pengundian biasa dan daftar pemilih terkini yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13.

Namun ini bergantung sekiranya semua surat pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diterima SPR pada petang atau malam ini, katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media SPR di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU-13 dan ini diikuti dengan pembubaran DUN Perlis, Sabah, Melaka, Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.

DUN Negeri Sembilan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) terbubar secara sendiri pada 28 Mac lepas.

Sarawak pula mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011 yang menyaksikan BN menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Selangor hari ini membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan, negeri pertama daripada empat negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang berbuat demikian.

Sementara itu, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan membubarkan DUN masing-masing selewat-lewatnya esok.

Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan tarikh pengundian diadakan dalam bulan ini, Abdul Aziz berkata semuanya akan ditentukan dalam mesyuarat itu nanti dan enggan mengulas lanjut.

Mengenai persediaan logistik pula, SPR katanya telah membuat persediaan sejak awal lagi dan buat masa ini semuanya berjalan lancar.

"Sejumlah 71 helikopter, dua buah pesawat, 1,000 bot serta kenderaan pacuan empat roda telahpun disewa SPR manakala seramai 230,000 petugas akan bertugas untuk PRU kali ini," katanya.

Selain itu, katanya SPR memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk penyediaan pusat media yang sempurna bagi kemudahan media memberi laporan tepat dan terkini.