KUALA LUMPUR: Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) perlulah mesra siswa seiring memberi ruang kepada lebih ramai pengundi 18 tahun ke atas menunaikan tanggungjawab mereka.

Itu pandangan Pegawai Komunikasi, Advokasi dan Promosi Kesatuan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Za'im Mustaqim Marzuki.

"Cadangan saya agar PRU diadakan pada tarikh hujung minggu, Sabtu ataupun Ahad bagi memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa terutama buat golongan yang baru pertama kali mengundi, selepas pindaan pada Perlembagaan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 menjadi 18 tahun," katanya.

Malah, anak kelahiran Bintulu, Sarawak itu juga berharap ada peruntukan sewajarnya disalurkan melalui kerajaan negeri atau persekutuan dalam membolehkan mahasiswa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi.

"Perlu ada insentif ataupun subsidi daripada kerajaan kepada mahasiswa untuk tiket-tiket penerbangan dari kampus untuk pulang ke Sarawak mengundi pada hari pilihan raya," tambahnya ketika ditemu bual secara maya menerusi program Niaga AWANI.

Dalam pada itu, Za'im berharap mana-mana kerajaan yang akan memegang tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan akan membenarkan undi pos kepada mahasiswa Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung.