Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganalisis 8,000 baucar dan fail seberat 12 tan dalam siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan sebuah agensi kerajaan negeri.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki siasatan kini memasuki fasa terakhir dan dijangka siap dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

SPRM mengambil tempoh sebulan untuk menganalisis baucar-baucar pembayaran mulai 2008 hingga 2016.

"Baucar-baucar itu diekstrak daripada fail-fail yang mengandungi puluhan ribu dokumen melibatkan dokumen tuntutan pembayaran keseluruhan jabatan-jabatan kerajaan negeri Sabah.

"Dianggarkan keseluruhan berat fail-fail yang dianalisis dan disemak tersebut mencecah sehingga 12 tan," katanya dalam satu kenyataan.

Azam berkata proses siasatan tersebut dilakukan secara teliti dan mendalam bagi melihat pelbagai aspek perundangan dengan penglibatan 137 pegawai SPRM dari Ibu Pejabat, bahagian serta negeri-negeri lain.

SPRM, katanya, amat serius dalam penyiasatan isu rasuah khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat namun memerlukan masa yang mencukupi bagi memastikan semua bukti dapat dikumpul agar tidak wujud sebarang masalah ketika prosiding di mahkamah.

Beliau berkata SPRM mendapat perintah reman ke atas 28 individu melibatkan seorang bekas pengarah, dua bekas timbalan pengarah, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

SPRM juga telah merakamkan percakapan lebih 200 saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan sejak 4 Okt lalu.

Sepanjang tempoh operasi, SPRM turut merampas, menyita serta membekukan harta bernilai kira-kira RM114.5 juta terdiri daripada wang tunai, akaun bank, amanah saham serta aset-aset alih dan tidak alih dalam dan luar negara. -- Bernama