PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 25 kertas siasatan berhubung salah urus pengurusan COVID-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata ia merangkumi pelbagai isu kesalahan dan telahpun memanggil mereka yang terlibat untuk membantu siasatan.

"Saya cuma nyatakan ia berkaitan pengurusan COVID-19 dan sedang kita siasat. Jadi apa-apa laporan kita akan maklum.

"Kita memanggil dalam 25 kertas siasatan ini ada banyak, sebab setiap satu kes itu berbeza bukan sama," kata Azam.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Pemantapan Wartawan bersama SPRM, di sini, hari ini.

Azam juga tidak menafikan kes turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ditanya apakah SPRM akan turut memanggil bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkaitan itu tersebut, beliau berkata sebarang kemungkinan tindakan akan dilakukan mengikut keperluan termasuk memanggil beliau.

"Ia mungkin satu daripadanyalah, bergantung kepada keperluan.

"Sebab itu saya katakan tadi ada 25 kertas siasatan dalam pelbagai isu, jadi tidak semestinya Menteri Kesihatan sahaja yang akan dipanggil.

"Kita tengok siapa-siapa yang terlibat, kita akan panggil," kata Azam.


BACA: Dr Adham sedia beri kerjasama kepada SPRM siasat isu perolehan COVID-19


Perolehan COVID-19 | Dr Adham sedia beri kerjasama siasatan SPRM