Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menafikan pernah menawarkan ganjaran atau pampasan wang RM2.6 billion kepada orang ramai yang komited menentang keganasan.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, satu laporan polis telah dibuat mengenai penyebaran maklumat palsu berkenaan di media sosial, memandangkan ia secara langsung menjejaskan nama dan reputasi suruhanjaya itu.

"SPRM menegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak pernah mengumumkan kenyataan mengenai RM2.6 billion dari akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diisytiharkan sebagai sumbangan untuk dibayar kepada rakyat Malaysia yang komited menentang keganasan'."

Menurut SPRM, maklumat palsu yang disebarkan itu dipercayai dikeluarkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

SPRM dalam kenyataan sama turut menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat penyebaran maklumat palsu ini.

"Orang ramai yang menerima maklumat dimaksudkan dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dan pada masa yang sama tidak sebarkan atau menghantar mesej terbabit kepada pihak lain."