PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) dan rakan 'sekutunya' seorang perunding syarikat pembinaan warga United Kingdom (UK) ditahan reman enam hari kerana dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan sebuah projek bangunan 41 tingkat di ibu negara yang bernilai RM389 juta.

Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya pada Rabu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 3 petang Selasa ketika hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini untuk memberi keterangan.

Berdasarkan siasatan, sumber memberitahu, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat membantu syarikat pembinaan tersebut mengemukakan sejumlah tuntutan palsu kepada sebuah syarikat pelaburan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.