Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti individu yang cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran.

Menurut kenyataan SPRM, maklumat berkenaan diserahkan baginda ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bersama beberapa pegawai kanan di sebuah lokasi di ibu negara pagi tadi.

”Di dalam pertemuan tersebut, pihak SPRM telah memperolehi maklumat yang berkaitan daripada baginda dan telah mengenalpasti individu yang terlibat.

"Dalam menjunjung titah baginda, SPRM akan memastikan siasatan yang telus akan dijalankan berkenaan perkara ini dan tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang," katanya.

Pertemuan di antara baginda dan SPRM berlangsung kira-kira pukul 8.30 pagi.

Datuk Dzulkifli kemudian dilihat meninggalkan lokasi dengan kenderaan rasminya pada pukul 9.40 pagi dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Sementara itu, Sultan Ibrahim juga enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu ketika ditemui wartawan yang menunggu baginda di lokasi terbabit.

I’m going shopping (saya ingin pergi membeli-belah),” kata baginda sambil berjalan keluar dari lokasi berkenaan ke arah kenderaan rasmi, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Pada 25 Mac lepas, menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook baginda bertitah mahu SPRM mengadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.

Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM 2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang Di-Pertuan Agong.