PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terhadap perolehan berkaitan COVID-19 yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

"Ia menyedihkan. Negara berada dalam pandemik dan darurat (sebelum ini) namun beberapa perolehan terpalit rasuah," katanya.

Menurutnya, siasatan yang sedang dilakukan adalah termasuk aktiviti rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan, penipuan berkaitan peralatan perubatan dan sebagainya.

"Penipuan berkaitan perubatan merangkumi pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain yang didapati palsu atau berkualiti rendah," katanya dalam ucaptama Forum Anti Rasuah Malaysia di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas menunjukkan masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan menikmati wang haram hasil daripada 'kesakitan' atau kemalangan orang lain.

"Saya memberi jaminan kepada semua orang bahawa SPRM bekerja sepanjang masa untuk memastikan rasuah sentiasa disemak dengan baik di Malaysia," katanya.

*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian