SPRM siasat skandal lombong pasir haram bernilai RM1.2 juta

Astro Awani
Disember 18, 2017 13:14 MYT
SPRM berkata kes perlombongan pasir dan batu haram di Kajang dipercayai bernilai hampir RM1.2 juta.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu kes perlombongan pasir dan batu haram di Kajang dipercayai bernilai hampir RM1.2 juta.
Sehubungan itu, sumber SPRM berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sekurang-kurangnya enam saksi utama yang dipercayai mampu membantu siasatan kes berkenaan.
"SPRM kenal pasti lima hingga enam saksi utama yang kita percaya boleh membantu siasatan kes ini yang bernilai hampir RM1.2 juta," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai perkara itu.
Pada 29 November, empat individu direman selepas sebuah syarikat perlombongan disyaki memberi rasuah terhadap penguat kuasa tempatan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan terbabit.
Dalam operasi dilancarkan itu juga, pasukan penyiasat telah membekukan beberapa akaun bernilai RM4 juta.
#haram #Kajang #kes lombong pasir dan batu #operasi #Rasuah #siasatan #Simi Abd Ghani #SPRM