KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendirian tohmahan dan serangan dibuat terhadap Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.

"Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Azam.

"Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

"Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta," katanya, pada Ahad.

SEMUA MENGENAI KONTROVERSI MEMBABITKAN AZAM BAKI DI SINI

Kes membabitkan Azam sedang disiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM sebelum ini, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, memaklumkan LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki, untuk membeli saham pada 2015.

Azam pada sidang media berasingan pada Rabu lalu, turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat dan menyifatkan tuduhan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016.

Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.