SPRM tahan pegawai kanan anak syarikat Selangor berhubung projek RM1.7 juta

Bernama
Ogos 29, 2022 11:51 MYT
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2.20 petang tadi ketika hadir memberi keterangan. - Gambar hiasan/BERNAMA
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah pembangunan perniagaan di sebuah anak syarikat kerajaan negeri ini kerana dipercayai melantik syarikat milik saudaranya bagi mendapatkan projek perisian bernilai kira-kira RM 1.7 juta.
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2.20 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam pelantikan sebuah syarikat milik saudaranya yang dibuat secara lantikan terus bagi mengendalikan projek tersebut pada Mac 2020.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini esok bagi dituduh mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
#SPRM #pengarah #anak syarikat Selangor #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #projek perisian