PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sedang membangunkan satu lagi program pengajian berakreditasi iaitu 'Sijil Asas Penguatkuasaan Undang-Undang (Certificate In Basic Law Enforcement).

Menurut Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki, program bertaraf sijil tahap tiga tersebut akan dibuka dan ditawarkan kepada semua agensi penguatkuasaan dalam SPRM bagi mengikuti latihan asas kepada semua pegawai lantikan baharu.

"Jumlah jam kredit minimum bagi mengikuti program pengajian ini adalah berjumlah 60 jam kredit atau bersamaan 2,400 jam pembelajaran.

"Tempoh pembelajaran ini adalah selama tiga bulan secara bersemuka di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan secara dalam talian," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen tersebut merupakan yang pertama kali diadakan dengan kerjasama Nottingham Trent University, United Kingdom.

Ia membabitkan beberapa jurusan dalam kursus yang ditawarkan bertaraf profesional Diploma Level 5 dan juga Postgraduate Diploma Level 7.

Seramai 266 graduan menerima pensijilan masing-masing pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Pro Naib Canselor (Antarabangsa) Nottingham Trent University Prof Cillian Ryan.

Kesemua graduan merupakan pegawai pelbagai jawatan dalam SPRM, termasuk dari taraf Penolong Penguasa Gred P29 sehinggalah P41.

Program pengajian termasuk modul siasatan, perisikan, pendakwaan dan perundangan, amalan profesional, serta kepimpinan.