GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbuka dengan cadangan agensi itu diletakkan di bawah Parlimen seperti dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, cadangan itu mungkin akan menyebabkan agensi itu terikat dengan arahan yang ditetapkan oleh ahli politik.

Azam berkata, meskipun terbuka dengan cadangan tersebut namun beliau berkata, masih ramai yang mahu agensi itu terus kekal bebas daripada tekanan politik.

"Kalau diletak SPRM di bawah Parlimen saya menjangkakan akan berlaku kemungkinan SPRM terpaksa mengikut arahan prosedur polisi tertentu yang ditetapkan oleh orang politik, sedangkan ada pihak mahu kita bebas daripada tekanan politik.

"Saya tak hendak namakan mana-mana negara tetapi pada negara yang letakkan di bawah Parlimen atau senat mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Parlimen sebelum (untuk) memulakan sesuatu siasatan," jelasnya.

Beliau berkata, sebagai contoh dalam kes siasatan melibatkan kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), ramai individu berprofil tinggi dinamakan, namun beliau menegaskan membuat siasatan tanpa campur tangan pihak tertentu dan ia jelas menunjukkan kebebasan yang dipraktikkan SPRM.

Mengulas lanjut Azam berkata, SPRM masih boleh dilihat bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen sekiranya cadangan yang digariskan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

Antaranya memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan cadangan beberapa pihak sebelum ini yang mahu SPRM diletakkan di bawah Parlimen dalam usaha memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas serta telus.

Beliau sebelum itu, hadir dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town pada Khamis.