KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sesekali mengamalkan 'double standard' terhadap mana-mana pihak melibatkan siasatan dan pendakwaan.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, setiap pendakwaan dijalankan berdasarkan keterangan dan bukti yang mencukupi.

"SPRM tidak pernah membezakan satu pihak dengan yang lain dan tidak ada isu 'double standard' atau perkara-perkara  yang boleh melibatkan pendakwaan ataupun tiada pendakwaan.

"Setiap pendakwaan yang dibuat adalah berdasarkan keterangan yang kukuh dan bukti mencukupi," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, Steven Choong Shiau Yoon (PSM - Tebrau) berkata, terdapat juga kes-kes berprofil tinggi yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sementara itu, menjawab  soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula, Mas Ermieyati (Bersatu - Masjid Tanah) berkata, SPRM sejak 2009 lagi telah dipantau oleh lima panel bebas bagi memastikan semak dan imbang dan ketelusan agensi tersebut.

Ini termasuk kes melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham yang turut disiasat oleh panel penasihat dan jawatankuasa aduan selain siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM_ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Untuk makluman, kita telah pun mendapat laporan dan siasatan telah pun dijalankan berkenaan peraturan dan undang-undang pemilikan saham oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkenaan kes KP SPRM (Azam) dan siasatan telah selesai.

"Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mendapati tiada kesalahan berkenaan saham yang didaftarkan atas beliau pada tahun 2015 dan 2016 berdasarkan semua dokumen semasa siasatan.

"Begitu juga dengan pihak PDRM, PDRM pula difahamkan sedang menjalankan siasatan sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) pada 7 Mac lalu," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Mas Ermieyati menambah, kerajaan menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 turut menggariskan inisiatif untuk memperkasakan SPRM termasuk mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan peruntukan kewangan agensi tersebut.