PUTRAJAYA: Selepas enam hari, pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak selesai mengemukakan hujah di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ini merupakan cubaan pertama Najib selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau.

Ia setelah mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Pasukan pembelaan sepatutnya selesai berhujah pada Khamis lalu, pun begitu meminta masa tambahan sehingga hari ini untuk melengkapkan rayuan tersebut.

Pendengaran rayuan itu direkodkan selama 12 hari iaitu pada 5-8 April, 12-15 April dan 19-22 April ini.

Sementara pihak pembelaan dan pendakwaan diberi tambahan dua hari untuk menggulungkan hujah masing-masing.

Rayuan Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya didengar pada 15 Februari lalu, pun begitu digantikan dengan tarikh baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Sepanjang prosiding enam hari, sejumlah 20 dokumen yang mengandungi lebih 2,000 muka surat berkaitan dengan rayuan diserahkan kepada pengadilan.

Bermula esok, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram akan memulakan hujah pendakwaan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rayuan kes SRC Najib masuk minggu kedua

Prosiding itu akan didengar di hadapan tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, serta Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Datuk Has Zanah Mehat.

Sepanjang prosiding rayuan pasukan pembelaan, Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Najib tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC International Sdn Bhd.

Ini kerana bekas Perdana Menteri itu, pada sepanjang masa percaya bahawa wang dalam akaun AmBank beliau adalah baki daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Antara lain, peguam Najib, Farhan Read turut memberitahu mahkamah sama, yang Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan pertuduhan dana SRC International Sdn Bhd bagaikan ‘terdorong’ untuk memutuskan anak guamnya itu bersalah.

Prosiding bersambung esok.