KUALA LUMPUR: Peguam bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihak pembelaan telah memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

Pihak pembelaan juga katanya telah memohon untuk mendapatkan keterangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi mengemukakan bukti lanjut susulan kenyataan yang dibuat beliau pada November.

Pada 19 Nov, SPRM memaklumkan pihak mereka telah mendapatkan semula AS$15.4 juta dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Singapura, diterima daripada Cutting Edge Industries Ltd (CEIL), yang dimiliki oleh Datuk Tawfiq Ayman, suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Dalam satu sidang media hari ini, Shafee berkata pihak pendakwaan sebelum ini tidak dikemukakan bukti tersebut dan mendakwa perkara itu disembunyikan daripada pihak pembelaan.


[TERKINI] Sidang media perkembangan kes SRC libatkan Najib Razak

“Pada Oktober dan Disember 2020, kira-kira setahun yang lalu, anda masih ingat ada artikel yang diterbitkan oleh portal berita dalam talian bahawa suami Tan Sri Zeti menerima berjuta-juta daripada Jho Low (Low Taek Jho).

"Kami cuba mendapatkan lebih banyak fakta dan bukti tetapi kami telah dihalang, tiada siapa yang peduli untuk beri kami maklumat, termasuk pihak pendakwaan dan agensi penyiasat.

"Saya sendiri melihat beberapa akuan berkanun telah ditandatangani oleh Tawfiq dan dua anak lelakinya, Alif Aiman Aziz dan Abdul Aziz Tawfik, mereka menandatangani empat akuan berkanun di mana yang keempat ialah akuan syarikat.

"Apa yang mereka katakan ialah mereka mengaku sebagai pemilik benefisial akaun bank CEIL di Singapura dan melepaskan semua tuntutan terhadap wang yang disimpan dalam akaun," katanya dalam sidang media di Bukit Tunku, di sini.

Notis usul dan afidavit sokongan untuk memasukkan bukti atau keterangan baharu itu difailkan di Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. pagi tadi.

Dalam afidavit sokongan usul itu, Najib berkata, ia dilakukan kerana semua isu yang dibangkitkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan belum diteliti sepenuhnya dan ia penting bagi membolehkan beliau mendapat perbicaraan yang adil dengan mengemukakan semua bukti.

Sekiranya notis usul itu diterima, maka keputusan Mahkamah Rayuan atas sabitan salah dan hukuman penjara serta denda yang dijadualkan dibuat pada 8 Disember perlu ditangguhkan.

Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung SRC.

Beliau disabitkan bersalah menyalahgunakan kuasanya berhubung kelulusan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM4 bilion antara 2011 dan 2012 untuk SRC.

Ahli Parlimen Pekan itu juga didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram RM42 juta dana SRC, yang diterimanya antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu.