ALOR SETAR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyasarkan 20,000 orang daripada golongan B40 termasuk pelajar didaftarkan melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) sehingga hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata dari 1 Januari hingga hari ini, sebanyak 13,255 golongan B40 dan pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi (IPT) telah berjaya mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma menerusi skim berkenaan.

"SPPP merupakan inisiatif SSM bagi menyokong usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan golongan berkenaan. Setakat ini, kita telah mencapai 66 peratus penglibatan golongan B40 dan pelajar di dalam SPPP ini, jadi pelbagai kempen terus diadakan bagi menarik minat mereka untuk terlibat dalam perniagaan.

"Pelajar masih menuntut di IPT boleh turut serta dalam skim ini kerana kita mahu mereka menyertai bidang perniagaan yang mempunyai potensi besar. Walaupun, jumlah sasaran 20,000 itu telah mencukupi nanti, jangan bimbang kerana mereka masih layak untuk didaftarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Semarak Niaga SSM dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Koporat kepada 500 penerima terdiri daripada golongan asnaf yang turut dihadiri Pengarah SSM Kedah Ismanani Khazali.

Salahuddin berkata bagi memastikan sasaran itu tercapai kolaborasi bersama beberapa kementerian antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Belia dan Sukan akan diadakan.

"Banyak kursus jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah diatur bagi membantu golongan ini untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Semua mampu menjadi usahawan berjaya sekiranya mereka bersungguh-sungguh dan mahu memperbaiki taraf kehidupan mereka dan keluarga," katanya.

-- BERNAMA