KUALA LUMPUR: Aspek berkaitan standard perburuhan tidak wajar diabaikan oleh pihak majikan meskipun proses naziran (pengawasan) oleh oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibuat dalam tempoh beberapa bulan selepas tarikh kelulusan kuota.

Justeru, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar memohon agar para majikan mengemukakan sokongan permohonan kuota dengan dokumen sahih.
 
“Walaupun kelonggaran akan diberikan bagi tujuan menyegerakan kelulusan kuota pekerja asing tetapi aspek berkaitan standard perburuhan tidak wajar diabaikan walaupun proses naziran bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuat selepas tempoh enam ke tujuh bulan daripada tarikh kelulusan kuota.

“Saya juga memohon kepada majikan supaya dokumen-dokumen untuk menyokong permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan adalah sahih kerana sebelum ini terdapat kes-kes permohonan yang melibatkan dokumen palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini kerana katanya lagi, wujud isu majikan mengemukakan permohonan melibatkan dokumen palsu.

Sementara itu, beliau berharap majikan dan pihak industri juga patuh kepada aspek berkaitan pembayaran gaji bulanan kepada pekerja termasuk gaji minima dan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini mengumumkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing membabitkan subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

KSM juga akan memastikan bahawa kelulusan kuota yang diberikan dapat memenuhi keperluan sebenar guna tenaga negara.