KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan simpanan beras seperti mana yang dihadapi beberapa negara jiran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee menegaskan, stok beras adalah konsisten sepanjang tahun, dan melebihi daripada keperluan dalam negara.

Keadaan itu, ujarnya disokong oleh komitmen Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk meningkatkan simpanan beras daripada 150,000 tan metrik kepada 290,000 tan metrik.

"Jadi keperluan beras adalah pada kadar lebih kurang 220,000 tan metrik sebulan dan kita ada simpanan stok sebanyak 290,000 yang dipegang oleh Bernas, dan ditambah dengan perdagangan.

"Selain itu, penanaman padi sebanyak 70 peratus yang dibuat secara bergilir iaitu musim menuai di negeri Selangor dan beberapa negeri lain, manakala (padi) ditanam di Kedah dan Kelantan. Kitaran itu berpusing. Jadi kira mempunyai bekalan beras yang konsisten sepanjang tahun, " katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ronald berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022.

Terdahulu, Datuk Seri Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) ketika membahaskan RUU tersebut meminta penjelasan daripada kementerian berhubung bekalan stok beras dalam negara yang didakwa hanya mampu bertahan selama sebulan.

Dalam masa yang sama, Ronald berkata kementerian sedang berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import beras sebanyak 30 peratus dengan pengurusan yang lebih efisien.