KUALA KANGSAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Cawangan Kuala Kangsar menyerbu sebuah stor pakaian berjenama tiruan di sini, hari ini.

Hasilnya, mereka berjaya merampas pakaian sukan berjenama popular yang dianggarkan bernilai RM60,500.

Ketua Cawangan KPDHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, serbuan dilakukan bersama wakil pemilik cap dagang.

“Operasi yang dijalankan adalah hasil maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar mendapati pengedaran dan penjualan pakaian berjenama tiruan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan pakaian berjenama berkenaan di pasaran dengan harga lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pasukan serbuan, pakaian berkenaan adalah dibekalkan oleh pembekal dari Lembah Klang yang mengimpot pakaian berkenaan dari luar negara,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Jika disabitkan kesalahan, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.