PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti luar rumah sekiranya tiada sebarang keperluan bagi menggelakkan serangan strok haba.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan situasi cuaca panas di negara ini dari masa ke semasa.

“Nasihat yang pertama, tentunya kalau tiada keperluan sebab di luar rumah suhu lebih terdedah dan haba yang tinggi, maka duduklah dan beraktiviti dalam rumah.

“Kalau tak, cari tempat yang teduh supaya kita terhindar dari dedahan haba yang tinggi. Yang kedua, akibat dari haba tinggi juga boleh menyebabkan dehidrasi.

"Kita gantikan kehilangan air melalui dehidrasi dengan minum air yang banyak,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menasihatkan mana-mana individu yang memiliki gejala strok haba agar segera mendapatkan rawatan di pusat rawatan kesihatan berdekatan.

“Jika seseorang rasa pitam atau nak pengsan, kelesuan, keletihan atau suhu badan yang tinggi, maka sila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Itu antara nasihat saya untuk orang ramai,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau tahap kesihatan dari masa ke semasa serta memakai pakaian yang menyerap haba ketika beraktiviti di luar rumah.