KUBANG PASU: Setiausaha UMNO Kubang Pasu meninggal dunia selepas melakukan aktiviti motosikal lasak di kawasan berbukit berdekatan Universiti Utara Malaysia Sintok, di sini hari ini.

Nor Azelin Mansor, 53, dipercayai pengsan selepas melakukan aktiviti sukan motosikal lasak bersama beberapa orang rakannya sekitar jam 2 petang Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima satu panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam yang diketuai Jamal Din tiba di lokasi kira-kira jam 2.37 petang.

"Operasi disertai tujuh anggota dan dua jentera dari BBP Bukit Kayu Hitam selain dibantu penduduk kampung," kata Mohamadul Ehsan. 

"Setibanya jentera di kaki bukit dan bantuan kenderaan pacuan empat roda penduduk kampung untuk ke atas bukit pada jarak lima kilometer untuk membantu mangsa yang dikatakan pengsan ketika melakukan aktiviti sukan bermotosikal bersama rakan-rakannya di situ," tambahnya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Mohamadul Ehsan turut berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang menunggu di bawah dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu sebentar tadi.

Katanya, jenazah Nor Azelin dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

"Saya terkejut ketika dimaklumkan berita ini dan dalam kini perjalanan ke hospital," kata Ahmad Zaini. 

"Jenazah dijangka dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Jitra tapi tak pasti waktu untuk pengebumian dilakukan," tambahnya.