Suami didenda RM3,000 sebabkan kerosakan pada kenderaan isteri

Bernama
Januari 12, 2017 08:58 MYT
Seorang penganggur didenda RM3,000 atau penjara enam bulan kerana melakukan khianat terhadap kenderaan isterinya. - Gambar hiasan
Seorang penganggur didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan memancitkan semua tayar dan memecahkan tingkap kenderaan isterinya yang menyebabkan jumlah kerosakan sebanyak RM1,000.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Melan Abdul Latiff, 44, selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukannya pada 17 Nov tahun lepas di Taman Desa Petaling di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, Melan telah pergi ke rumah isterinya pada hari tersebut untuk mengambil anaknya berusia tujuh tahun, bagaimanapun isterinya tidak membenarkan menyebabkan tertuduh marah.
Dia ditahan polis pada 9 Jan lepas di rumahnya di Cheras.
Tertuduh yang tidak dapat membayar denda itu akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
-- BERNAMA
#Mahkamah Majistret #Melan Abdul Latiff #Seksyen 427 Kanun Keseksaan