JASIN: Polis Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu yang bernilai hampir RM4 juta di sebuah rumah di Serkam di sini, pada Rabu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya turut menahan lapan individu termasuk dua pasangan suami isteri yang berusia 28 hingga 48 tahun dalam empat serbuan berasingan di sekitar Melaka dan Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata, hasil makluman awam dan risikan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Melaka, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Serkam dan menjumpai 82.64 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 16.62kg pil ekstasi.

“Pada serbuan pertama ini pihak polis awalnya menahan dua lelaki dan wanita tempatan di hadapan sebuah rumah di kawasan Serkam sebelum serbuan didalam rumah tersebut pula menahan dua lagi individu yang dipercayai pasangan suami isteri.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu kemudian menjumpai empat guni yang berisi 82.64kg syabu bernilai RM2.9 juta dan satu lagi guni serta dua bungkusan parcel pil ekstasi bernilai RM831,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Jumaat.

Mengulas lanjut ujarnya, kesemua suspek yang terdiri daripada beberapa nelayan tempatan itu dipercayai aktif sejak awal tahun 2022 lalu dan aktiviti pengedaran dadah tersebut dipercayai bagi pasaran luar negara.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap mereka didapati negatif, bagaimanapun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kesalahan sama.

Selain itu katanya, pihaknya turut merampas tiga buah motosikal, empat buah kereta, barangan kemas, wang tunai berjumlah RM2,114 serta beberapa keping wang kertas mata wang asing.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 835,700 penagih dadah dan ujian saringan ke atas semua tangkapan adalah negatif.

“Pihak polis turut menyita harta milik sindiket ini termasuk kereta jenis Mazda 6, Perodua Alza, Proton Wira dan Mitsubishi Triton yang bernilai RM283,770.60,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.